Sunday, June 5, 2011

Dedikasi Buat Sahabat

Siapa aku tanpa sahabat.

Kalau sebelum itu saya hanya tahu kawan dan persahabatan. Tapi setelah bertemu dengan dia saya tahu tujuan dan arah persahabatan. Ya. Saya mula mengerti apa itu ukhuwah, apa itu sahabat setelah di takdirkan Allah untuk bertemu dia. Atau lebih tepat, bertemu hatinya.

Waktu itu, saya masih terkapai-kapai mencari nur setelah lama dalam jahiliyah dunia. Cuba menyusun hidup kembali ibarat mencantum jingsaw puzzle yang berserakan. Sungguh, Allah itu tidak pernah meninggalkan hamba-Nya. Dia turunkan hidayahnya melalui seorang insan yang mula saya kenali sebagai seorang sahabat. Alhamdulillah.

Sahabat inilah yang mula menunjukkan kepada saya jalan keluar. Senantiasa sabar dalam mentarbiyah diri ini. Kadang kerenah saya menguji kesabarannya, namun dia tetap tidak berputus asa. Tika susah, dia ada di sebelah saya. Masih saya ingat, ketika saya demam di asrama, terbaring lesu, tiba-tiba saya rasa ada tangan yangmengusap kepala. Ingatkan ada ‘benda’ lain. Rupanya sahabat aku yang seorang ni, hati saya berdetik. Saya tengok mulut dia terkumat-kamit. Bacakan doa agaknya.

Dan ada ketika saya di tingkatan empat, saya telah dihentam teruk oleh rakan-rakan, dilabel dengan panggilan yang macam-macam. Hampir sahaja saya berputus asa, dek kerana saya baru sahaja bangkit dari jahiliyah, maka itu terlalu mudah untuk berpaling kembali. Saat itu, tiada siapa yang memberi semangat. Tapi dia berkecuali. Tetap ada di sebelah saya. "Enti pilihan Allah. Jangan ragu itu." Kata-katanya tersemat buat pendorong untuk terus kehadapan.

Andai mahu dikupas segala memori, mahu habis dakwat. Tidak mahu berceloteh panjang. Post yang mungkin agak bosan bagi orang lain namun istimewa untuk saya. Dedikasi buat sahabat. Dia, Zulfaarihah binti Azmi.

Selamat Hari Lahir.

Terima kasih atas kesabaran enti mendidik ana. Ana juga 'mahu' dan 'perlu'kan enti sebagai sahabat ana. Moga Allah redha atas dirimu, atas diriku dan juga atas ukhuwah ini.